Tuesday, September 29, 2009

WARISAN BANGSA - FORUM

HARAP MAKLUM: FORMAT FORUM TIDAK TEPAT DARI ASPEK SUSUNAN-
TIDAK DAPAT DISUSUN DENGAN BAIK. DIHARAP
PARA PELAJAR DAPAT MENGENAL PASTI SUSUNAN
YANG SEBENAR.


WARISAN BANGSA
AKTIVITI: FORUM

Setiap negara, pasti mempunyai nilai dan budaya yang tersendiri. Begitu juga di negara kita yang terdiri dari lima budaya besar iaitu Melayu, Cina dan India, Kadazan dan Iban. Namun begitu, akibat arus modenisasi yang semakin hebat pada era ini, sedikit-sedikit amalan dan cara hidup yang menjadi pegangan hidup , terhakis. Kita lihat di mana-mana , masyarakat kurang menghargai nilai estetika yang ada dalam masyarakat, sebagai contoh, pemakaian kain batik sarung. Amat kurang sekali ,dilihat anak-anak muda memakai kain sarung batik kecuali di negeri Kelantan dan Terengganu. Sehubungan itu, SEMBANG PAGI pada pagi ingin membicarakan isu ini secara lebih ilmiah.


Pengerusi: Selamat sejahtera saya ucapkan kepada para penonton yang setia berada di hadapan TV . Tajuk isu pada pagi ini ialah ”WARISAN BANGSA”. Apakah sebenarnya warisan bangsa yang tergambar dalam kotak fikiran kita? Apa pula kepentingannya sehingga kita perlu mempertahankan warisan bangsa ini? Akhir sekali , benarkah arus pemodenan yang dikatakan sebagai punca hilangnya penghargaan generasi sekarang terhadap warisan bangsa ini ?

Bagi membincangkan persoalan-persoalan yang dikemukakan , tiga orang tokoh telah dijemput, di sebelah kanan saya ialah Pengarah Arkib Negara iaitu Datuk Seri Atiq Azman. Di sebelah kiri saya, Presiden Yayasan Belia Negara, Dato’ Afiq Agos dan di hujung sana ialah, Budayawan Negara, Datuk Radin Syamel.

Bagi mendapatkan takrifan yang tepat tentang warisan bangsa, amat sesuai sekali jika Datuk Radin Syamel memulakan bicara kita pada pagi ini. Baiklah Datuk, apakah definisi yang paling sesuai untuk tajuk kita pada hari ini?

Datuk Radin
Syamel: Terima kasih saudara pengerusi. Jika dilihat dari sudut budaya, warisan bangsa membawa maksud, apa-apa amalan dan cara hidup yang diamalkan oleh segolongan masyarakat. Misalnya, dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagai cara berpakaian iaitu dalam kalangan Melayu Jawa, kita dapati mereka memakai songkok bercorak batik tetapi di negeri Kelantan golongan lelakinya lebih gemar memakai ’kain semutar’. Dalam kalangan kaum Hindu sendiri terdapat pelbagai jenis kain sari yang mewakili pelbagai etnik dalam kaum India seperti yang dipaparkan di skrin LCD sekarang. Dalam budaya Cina pula, kita rujuk makanan yang dimakan oleh kaum Cina, ada makanan Cina ala-Hokkien, ada makanan ala-Hainan yang mempunyai sedikit kelainan.
Sementara itu, dari sudut sejarah, warisan bangsa pula menjurus pada peninggalan-peninggalan berbentuk bangunan sama ada bangunan-bangunan yang dibina oleh penjajah ataupun bangunan-bangunan nenek moyang kita yang terdahulu. Sebagai contoh, bangunan Muzium Abu Bakar Johor dan bangunan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, merupakan sebuah bangunan binaan Inggeris yang dibina semasa pentadbiran British di Tanah Melayu. Kewujudan bangunan ini amat besar ertinya kerana dari aspek seni binanya, amat berlainan dengan seni bina Melayu pada masa itu. Selain menjadi bukti dalam sejarah Malaysia bahawa kita pernah dijajah oleh suatu kuasa asing.

Itu sahaja pandangan saya tentang maksud warisan bangsa.


Pengerusi: Terima kasih Datuk Radin Syamel. Baiklah penonton, begitulah takrifan ringkas tentang warisan bangsa. Jika dihalusi, warisan bangsa merupakan elemen penting untuk membina jati diri dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Lebih-lebih lagi, dalam jiwa generasi muda sekarang. Maka, kita dengar pandangan Datuk Seri Atiq Azman tentang kepentingan-kepentingan mengekalkan warisan bangsa kita. Silakan Datuk Seri.

Datuk Seri
Atiq Azman: Terima kasih saudara pengerusi. Beginilah saudara pengerusi dan penonton, kita lihat kepentingannya dari aspek pembentukan jati diri terlebih dahulu. Saya fokuskan pada penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda. Seperti yang dikatakan oleh Datuk Radin Syamel sebentar tadi, warisan budaya bermaksud seluruh cara hidup masyarakat. Jadi, salah satunya ialah penggunaan bahasa kebangsaan dan ibunda dalam masyarakat. Untuk membentuk jati diri yang tebal dan tulen, kita tidak dapat lari dari menghargai dan meletakkan bahasa kita di tempat paling atas. Lihat sahaja , negara-negara maju, baik Jepun, Korea, Perancis, Cina dan Jerman, rakyat di negara-negara tersebut amat bangga akan bahasa ibunda dan kebangsaan mereka. Namun , pada masa yang sama mereka merupakan gergasi ekonomi dunia misalnya, Jepun merupakan negara industri robotik paling canggih di dunia.

Yang dapat dirumuskan berdasarkan pendapat saya sebentar tadi ialah, semua negara maju amat menghargai, bangga dan memartabatkan bahasa ibunda dan kebangsaan masing-masing. Mereka mempelajari bahasa asing semata-mata untuk mendapatkan ilmu dan dibawa balik ke negara mereka untuk dimanfaatkan. Perlu diingatkan juga jika kita bercita-cita menjadi negara maju dalam acuan dan budaya kita sendiri, bahasa kebangsaan dan ibunda perlu dimartabatkan dengan bersungguh-sungguh. Bagi saya, bangsa yang tidak menghargai keunikan bahasa ibunda dan kebangsaan sendiri, sebenarnya amat longgar jati diri dan semangat patriotiknya.

Seterusnya, saya melihat kepentingan menghargai dan mengekalkan warisan bangsa ialah kesannya kepada anak-anak kecil dan remaja yang masih muda. Jika kita mahu generasi muda kekal dalam budaya hidup nenek moyang yang penuh dengan nilai-nilai ketimuran, maka warisan bangsa seperti adat resam , yang merangkumi cara berpakaian, makanan dan cara bermasyarakat perlu berterusan menjadi amalan. Bagi saya, bangsa berjaya ialah bangsa yang berjaya menjadi ikon dunia tetapi masih mengekalkan cara hidup nenek moyang yang positif. Saya rujuk,Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammed iaitu, beliau mahu Malaysia muncul sebagai negara maju beracuan sendiri. Tidak meniru mana-mana budaya negara lain. Maka, untuk merealisasikan impian ini, kita perlu pastikan warisan bangsa kita kekal menjadi ikon dalam diri setiap anak muda.
Itulah sahaja pandangan saya saudara pengerusi.

Pengerusi: Terima kasih Datuk, menarik sekali penjelasan sebentar tadi. Yang paling menarik ialah isu tentang kepentingan warisan bangsa ini kepada golongan muda. Namun begitu, yang kita semua lihat sekarang, warisan bangsa ini seolah-olah ditelan oleh arus pemodenan yang amat laju pergerakannya. Untuk melihat fenomena ini dengan lebih jelas, saya jemput Dato’ Afiq Agos untuk memberi pandangan beliau tentang gejala serius ini.


Dato’
Afiq Agos : Terima kasih saudara pengerusi. Berbicara tentang arus pemodenan ini, kita tidak lari dari mengaitkannya dengan isu globalisasi. Jika, kita rujuk Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat , globalisasi membawa takrif , proses yang membolehkan sesuatu aktiviti ( sosial, ekonomi, kebuayaan dan sebagainya) disebarkan atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia, terutamanya dengan adanya kemudahan sistem komunikasi dan dasar terbuka. Jadi, dapat disimpulkan pengglobalisasian memang berupaya menghakis nilai-nilai hidup dalam masyarakat.

Dalam dunia yang tiada lagi sempadan, siapa-siapa yang kuat memang berupaya mengubah rupa bentuk masyarakat dunia. Saya ambil contoh, negara maju iaitu Amerika Syarikat yang dikatakan gergasi dalam semua aktiviti dunia, dari bidang sosial hinggalah ketenteraan. Masyarakat dunia cenderung melihat negara ini sebagai negara yang ideal untuk diikuti, agar sama-sama dapat bergelar masyarakat moden. Situasi ini banyak menempiasi generasi muda sehingga kita lihat pengagungan terhadap pakaian dari Barat amat dominan. Malah, dalam masyarakat Cina, kita dapati anak-anak mudanya jarang-jarang memakai pakaian Cheong Sam sebagai pakaian harian, malah tidak juga menjadi pilihan semasa Tahun Baru Cina. Bagi saya itu satu kerugian kerana pakaian merupakan salah satu identiti bangsa Cina selain bahasa ibunda.

Pengaruh modenisasi yang kedua terhadap warisan bangsa ialah kurangnya penghargaan terhadap nilai-nilai estetika sejarah negara dan seni pertukangan nenek moyang. Kita dapati kerakusan membina bangunan berciri moden telah hampir membenam keindahan seni bangunan tradisional. Jarang-jarang kita lihat masyarakat membina bangunan yang dihiasi ukiran budaya Melayu, Cina dan India. Sehinggakan pelbagai langkah diambil untuk mengekalkan pengetahuan ini dalam minda masyarakat seperti mewujudkan Taman Mini Malaysia di Air Keroh , Melaka. Di taman ini, barulah kita dapat mengenali rupa bentuk rumah-rumah tradisional rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Saudara pengerusi, itulah pendapat saya tentang perkara ini.

Pengerusi: Terima kasih Dato’. Begitulah pandangan-pandangan tajam daripada ahli-ahli panel kita . Saudara penonton, memang tidak dapat dinafikan bahawa, warisan bangsa amat perlu untuk dipelihara. Oleh itu, pelbagai usaha dilaksanakan bagi memastikan warisan budaya kita terus mendominasi kehidupan masyarakat. Saya amat tertarik dan kagum akan usaha Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood, isteri Perdana Menteri kita, yang berusaha gigih agar batik dan songket kembali segar dalam masyarakat. Begitu juga usaha mantan Menteri Pertanian, Datuk Seri Sanusi Joned yang bekerja keras mempopularkan makanan kampung iaitu ikan patin, ikan lampan, ikan talapia dan ulam-ulaman. Di bawah pengawasan Kementerian Pertanian pada ketika itu, pelbagai promosi dilakukan di hotel-hotel, di pasar-pasar tani dan pasar-pasar malam.Selain itu, usaha gigih kerajaan Melaka mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di Banda Hilir , Melaka amat disyukuri. Hal ini kerana, Banda Hilir ialah mercu tanda sejarah negara kita. Semangat cinta akan negara sewajarnya berkobar-kobar dalam jiwa setiap generasi apabila melihat kesan-kesan peninggalan penjajah. Oleh itu, mulai hari ini, sama-samalah kita menghargai warisan bangsa kita. Hanya bangsa yang kenal jati diri ialah bangsa yang dihormati.

Sekian saja, rancangan SEMBANG PAGI. Saya sudahi dengan assalamualai’kum. Sehingga jumpa lagi.


( TEKS UJIAN LISAN BERKUMPULAN )

No comments:

Post a Comment