Wednesday, July 1, 2009

PERANAN IBU BAPA

Soalan : Peranan keluarga dalam pembangunan modal insan.

Dalam era globalisasi tanpa limitasi ini, negara Malaysia kini sedang pesat membangun dari sehari ke sehari. Persoalannya, apakah faktor yang mendorong pembangunan ini? Sebenarnya, pembangunan negara adalah sejajar dengan pembangunan modal insan kelas pertama yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan ini lahir daripada generasi muda kita yang berwawasan tinggi. Generasi yang berwawasan memiliki sikap-sikap positif seperti dinamik, proaktif, beriltizam dan berdaya saing. Tetapi apakah pula rahsia pembentukan generasi berwawasan yang mendukung pembangunan modal insan di negara ini? Dalam hal ini, keluarga memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat penting untuk dipikul demi merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dalam pelbagai aspek.Generasi hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Mereka mesti menyediakan diri dengan ciri-ciri kepimpinan dan memantapkan ilmu serta kemahiran. Di sini jugalah keluarga khususnya ibu bapa memainkan peranan untuk memimpin tangan dan membantu anak mereka dalam mengharungi kehidupan dengan cara yang paling efektif sekali. Hal ini demikian kerana keluarga merupakan pihak yang paling dekat dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik terhadap anak-anak kerana segala perbuatan dan tingkah laku ibu bapa pasti akan diikut oleh anak-anak mereka. ‘Di mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’ merupakan peribahasa yang relevan dengan isu ini. Sudah menjadi lumrah hidup manusia, anak-anak sememangnya akan akan memperhatikan dan meniru gerak tari ibu bapanya. Jika sumbang gerak tari ibu bapanya maka sumbanglah juga gerak tari mereka. Justeru, ibu bapa perlu bersikap optimistik tidak kira dalam apa-apa keadaan demi memastikan anak-anak sentiasa berada di landasan yang betul dan seterusnya melahirkan anak yang sentiasa bersikap positif.Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam keluarga. Hal ini demikian kerana suasana yang harmoni dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan gejala negatif. Apabila suasana ini dapat diwujudkan ikatan silaturahim antara keluarga akan lebih utuh. Hal ini seterusnya dapat mengelakkan gangguan emosi dalam kalangan anak-anak dan seterusnya membendung anak-anak daripada tergelincir dari landasan yang benar. Setiap hari di dada akhbar kita dapat melihat bahawasanya remaja kini kebanyakannya terlibat dengan masalah sosial yang menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Justeru, ibu bapa dan keluarga harus membimbing dan memantau anak-anak supaya tidak terjebak ke dalam sesawang negatif dan menghancurkan usaha untuk membina modal insan.Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘kepapaan menajamkan akal manusia, kekayaan menumpulkan akal manusia’. Peribahasa ini memberi maksud yang sangat jelas bahawa ibu bapa tidak harus melimpahkan kemewahan terhadap anak-anak kerana kemewahan dan kekayaan akan menyebabkan anak-anak lalai dalam menjalani kehidupan. Sebaliknya anak-anak lebih suka berfoya-foya dan mengabaikan tanggungjawab utama mereka iaitu menuntut dan menimba ilmu. Sememangnya, ibu bapa harus bijak menguruskan kewangan anak-anak mereka dan mendidik mereka bagi mengelakkan mereka tergolong dalam golongan yang lalai dan rugi.Di samping itu, ibu bapa harus mengikuti perkembangan pembelajaran anak-anak dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka. Dalam hidup ini, setiap manusia yang memperoleh kejayaan pasti pernah menemui kegagalan pada suatu ketika dahulu. Dalam hal ini, jika anak-anak gagal dalam sesuatu perkara misalnya peperiksaan, ibu bapa tidak seharusnya menghukum mereka sebaliknya memberi dorongan dan menasihati mereka. ‘Pengalaman ialah ibu segala kejayaan’ merupakan peribahasa Jepun yang sangat sesuai dengan isu ini. Sebaik-baiknya kegagalan yang pernah dihadapi itu dijadikan pengalaman dan sejarah yang tidak boleh diulang kembali. Jelaslah di sini bahawa, dorongan dan sokongan ibu bapa dapat mendidik anak-anak untuk mengawal emosi mereka dan seterusnya membentuk modal insan yang cemerlang dari aspek emosinya.Seterusnya, didikan agama merupakan aspek yang paling penting bagi membentuk generasi yang bersih dari segi rohani dan jasmani. Dalam hal ini juga ibu bapa ialah pihak yang bertanggungjawab untuk menerapkan nilai-nilai agama dalam diri anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana dengan pengetahuan agama yang menebal dalam diri, anak-anak dapat membezakan perkara yang benar dan batil. Anak-anak juga lebih terdorong untuk melakukan kebaikan dan secara tidak langsung dapat menyuntik semangat mereka untuk berusaha dengan gigih demi mencapai matlamat. Perkara ini juga dapat membina disiplin diri anak-anak dan melicinkan usaha untuk menambah bilangan modal insan dalam negara kita.Natijahnya, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan yang begitu penting dalam pembentukan modal insan dalam kalangan anak-anak mereka. Bahawasanya, gabungan nilai-nilai murni, ilmu pengetahuan dan kemahiran serta disiplin diri yang tinggi boleh melahirkan generasi berwawasan yang menjadi akar kepada pembangunan modal insan kelas pertama yang cemerlang dari aspek fizikal, mental dan emosi. Dalam hal ini, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh berputus asa berusaha untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna dalam masyarakat, bangsa dan agama serta membatu merealisasikan satu agenda penting negara iaitu melahirkan generasi berwawasan yang menjadi penggerak kemajuan negara.

(740 patah kata)
NURDARINA MAISARAH
SMK SULTAN ISMAIL
2008

5 comments:

  1. karangan sgt mnarik dn sgt mmbntu. terima kasih..

    ReplyDelete
  2. thanks, saya akan pakai karangan ni dlm PMR

    ReplyDelete
  3. Best sgt2.. Time kasih boleh uat panduan utk buat karangan kat skolah..

    ReplyDelete
  4. kenapa x de perenggan
    susah nk tentukan perenggannya

    ReplyDelete