Saturday, June 20, 2009

Soalan :
Dalam usaha kerajaan memartabatkan sistem pendidikan agar bertaraf dunia, sistem pengajaran dan pembelajaran secara maya telah diperkenalkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Bincangkan kelebihan-kelebihan pendidikan maya dan usaha-usaha untuk menggalakkan penggunaan pendidikan maya.

Pepatah ada mengatakan ‘zaman beralih, musim bertukar’,sememangnya tidak dapat dinafikan lagi pendidikan konvensional kini telah bertukar wajah. Sistem pendidikan maya telah diperkenalkan di negara kita atas usaha kerajaan untuk memartabatkan lagi sistem pendidikan kita agar bertaraf dunia. Sistem ini bertujuan untuk melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar setanding dengan sistem pendidikan di negara-negara maju dan juga untuk meningkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran agar boleh diaplikasikasikan di seluruh dunia. Pendidikan maya merupakan satu bentuk pendidikan masa depan yang akan memaksimumkan penggunaan Teknologi dan Maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan maya dapat ditakrifkan sebagai sistem pengajaran dan pembelajaran yang melepasi sempadan bilik kuliah atau kelas di sekolah. Jika kita menerobosi secara terperinci tentang sisitem pendidikan maya ini, banyak kelebihan yang bakal kita dapati.
Dalam hal ini, pendidikan maya membolehkan para pelajar mengikuti tutorial tanpa perlu terikat dengan waktu pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, para pelajar dapat menghadiri mana-mana sidang dimana-mana sahaja tanpa mengira waktu. Pembelajaran secara asinkronis ini memudahkan lagi para pelajar untuk melakukan perbincangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa perlu duduk setempat bersama-sama. Hasilnya, lebih banyak informasi dapat digali dan pelbagai idea baru dapat ditunasi. Selain itu, sitem ini turut membuka peluang untuk para pelajar berinteraksi menggunakan internet dan juga e-mel. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan lagi masa para pelajar.
Dalam nada yang serupa, menerusi sistem pendidikan maya, para pelajar dapat menggunakan E-buku yang boleh dimuat turun secara langsung dari alam maya. E-Buku mempunyai pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya. Dengan e-buku itu, para pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak. Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan e-buku mampu menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah kelas. E-buku menjadi suatu wahana dengan pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar. Sebagai seorang pelajar, internet juga boleh dijadikan sebagai medium rujukan. Malahan, internet juga dianggap sebagai perpustakaan maya yang menyimpan khazanah ilmu pengetahuan. Maklumat yang diperoleh lebih cepat, mudah dan dapat menjimatkan masa.
Di samping itu, para pelajar terutama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu lagi bersemuka dengan pensyarah. Sebagai contoh Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membolehkan para pensyarah mengendalikan telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dapat dilakukan di lokasi yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi. Malahan, konsep universiti terbuka seperti Universiti Tun Abdul Razak dapat dirancakkan lagi kewujudannya tanpa pelajar perlu bersua muka dengan pensyarah seperti masa ini. Dalam hal ini, golongan seperti suri rumah dan pesara dapat terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu menghadirkan diri di institusi pendidikan. Hal ini secara tidak langsung dapat memanifestasikan slogan pendidikan sepanjang hayat yang digalakkan oleh kerajaan. Seterusnya, pendidikan secara maya juga dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan seperti penginapan dan pembelanjaan. Hal ini kerana pendidikan maya boleh dilakukan di rumah. Hal ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos perbelanjaan dan penginapan para pelajar.
Demi melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggalakkan pendidikan maya dalam kalangan masyarakat. Antara usaha yang telah di lakukan ialah menaik taraf sekolah dan institut pengajian tinggi. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan (PIPP) yang bertujuan untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.Menerusi teras yang keenam Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan, Kementerian Pelajaran berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan tidak kira sama ada sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Sebagai contoh, menerusi PIPP, sebanyak 60 buah sekolah telah dinaik taraf sebagai sekolah kluster.Skolah Kluster dapat disignifikasikan sebagai satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti kecemerlangannya dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Penggunaan kemudahan teknologi maklumat yang disediakan perlu diikuti oleh semua pelajar sekolah kluster. Misalnya, beberapa sekolah kluster telah mengambil beberapa langkah untuk mempraktikkan pendidikan maya dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah seperti menghantar tugasan melalui e-mel dan juga melakukan pembentangan melalui pengunaan komputer. Para pelajar juga digalakkan untuk menguasai perisian komputer seperti Microsoft Words, Microsoft Power Point dan sebagainya. Di samping itu, banyak universiti telah diiktiraf sebagai Universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya dan juga Unversiti Sains Malaysia untuk melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita.
Kesimpulannya, sememangnya pendidikan maya memberikan pelbagai kelebihan kepada seluruh lapisan masyarakat. Umum mengetahui bahawa bentuk pengaajaran dan pembelajaran yang baharu membolehkan rakyat meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik. Pelaksanaan sistem pendidikan maya di negara kita dapat meluaskan lagi horizon minda para pelajar. Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya pendidikan maya dilaksnakan secara menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan tetap dapat dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan sedemikian patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah ‘ sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselami orang’. Selain itu pelbagai pihak tidak kira pihak swasta mahupun badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu bersama kerajaan untuk membangunkan lagi sistem pendidikan di negara kita agar ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan negara-negara maju yang lain.

(810 patah perkataan)
ADILAH NUR BINTI YAHYA
5 CERDIK SMAK SULTAN ISMAIL
JOHOR BAHRU, JOHOR, 2009

2 comments:

  1. salam cikgu
    terima kasih atas jasa baik cikgu menerbitkan karangan pelajar ini. ternyata karangan yang dipaparkan baik. walaupun begitu, saya ingin berkongsi pendapat. ada sedikit kekurangan dalam setiap karangan, terutamanya bagi percontohan. rata-rata karangan yang ada tidak mempunyai sarana penghujaha yang bervariasi. percontohan merupakan salah satu bentuk penghujaha, selain kajian, laporan, anekdot, petikan tokoh, petikan al-Quran dan beberapa lagi. justeru, adalah baik jika kesemua ini dapat diaplikasikan kepada pelajar-pelajar ini.

    terima kasih atas perhatian cikgu.

    ReplyDelete
  2. terima kasih kerana berkongsi idea dengan saya.
    Mungkin saudara Roslan boleh sunting esei ini frasa-frasa yang lebih baik dan menarik untuk dikongsi bersama-sama anak-anak didik yang lain.

    Selamat hari raya

    ReplyDelete