Tuesday, September 29, 2009

PERANAN IBU BAPA MENANGANI MASALAH PENAGIHAN DADAH DALAM KALANGAN REMAJA

Kes penagihan dadah merupakan antara isu hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Ibu bapa sering dipersalahkan apabila isu ini menimpa anak-anak mereka.

Bincangkan pernyataan di atas dengan menghuraikan peranan ibu bapa bagi memantau anak-anak mereka daripada terlibat dalam gejala penagihan dadah


Saban hari cuping telinga kita dihidangkan oleh media massa tentang penagihan dadah dalam kalangan remaja. Berdasarkan maklumat daripada laman web Buletin Agensi Anti Dadah Kebangsaan 2007, seramai 1207 orang menagih dadah setiap bulan . Hal ini amat serius dan memerlukan pengawasan yang rapi oleh semua golongan masyarakat terutamanya ibu bapa. Malah, ibu bapalah yang sering diletakkan beban kesalahan apabila anak-anak terjerumus ke dalam gaung jijik penagihan dadah. Yang tersirat di sebalik pandangan ini ialah tanggungjawab untuk memantau anak-anak amat besar dalam menangani isu penagihan dadah ini berbanding golongan masyarakat yang lain.

Sebenarnya , peranan ibu bapa bermula sejak anak-anak masih di peringkat kanak-kanak lagi. Menurut Dr Haji Zahazan Mohamed seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bukunya “Anakku Hebat Anakku Soleh”,

“ Zaman kanak-kanak ialah suatu zaman kanak-kanak itu mendapat pendidikan di rumah daripada ibu bapanya …"

Berdasarkan pandangan ini , maka tugas membimbing dan mendidik serta menyerapkan nilai-nilai murni merupakan tugasan besar ibu bapa malah tidak boleh dipikul oleh orang lain hatta oleh saudara mara di sekeliling. Proses pentarbiahan tentang perkara-perkara positif terutamanya nilai-nilai agama perlu dimulakan di dalam rumah. Segala kehendak baik oleh ugama seperti bercakap benar perlu diamalkan dalam kalangan ahli keluarga. Dengan kata lain, proses pemantauan dan pendidikan sebenarnya bermula dari rumah.

Apabila anak-anak telah dapat menerima ajaran agama dengan baik dan mengalikasinya dalam setiap aktiviti harian , sudah pastilah mereka dapat mengawal diri daripada perkara negatif iaitui penagihan dadah.Hal ini kerana, perasaan sangat takut akan tuhan akan mencegah naluri anak-anak daripada mendekati najis dadah. Situasi ini juga berlaku kerana anak-anak dapat membezakan perlakuan yang murni dengan yang tidak bermoral. Oleh itu,pemantauan yang serius oleh ibu bapa terhadap pengamalan ugama anak-anak akan membentuk suatu benteng yang kukuh bagi menepis pengaruh penagihan dadah kepada anak-anak.

Dalam memberi perhatian kepada anak-anak, sikap pilih kasih antara anak-anak perlu dihindari. Perilaku ini mampu melahirkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anak-anak. Perbezaan layanan akan mewujudkan tekanan perasaan, sakit hati , benci dan cemburu sesama anak-anak. Implikasinya , anak-anak yang berasa tidak mendapat layanan istimewa akan bertindak melakukan apa-apa sahaja untuk menarik perhatian ibu bapa seperti melibatkan diri dalam dunia penagihan dadah. Intihanya, perhatian yang sama rata dan adil perlu menjadi keutamaan untuk menghindari pengaruh buruk dadah.
Selain itu, hubungan kekeluargaan yang erat juga mampu membendung serangan penagihan dadah dari menerobos masuk ke dalam keluarga. Hubungan erat dengan keluarga kembangan seperti datuk, nenek, ibu saudara, bapa saudara dan sepupu-sepupu akan melahirkan ikatan yang intim. Keadaan ini dapat membantu ibu bapa memantau kelakuan anak-anak kerana kebiasaannya anak-anak akan lebih mudah meluahkan isi hati kepada orang lain berbanding ibu bapa sendiri. Oleh itu , dalam usaha mengawal perilaku anak-anak dari terjebak dengan penagihan dadah, ibu bapa perlu sentiasa berhubung dan menziarahi kaum keluarga kembangan agar anak-anak berasa diri mereka sentiasa disayangi diberi perhatian oleh semua kaum keluarga. Akibatnya, anak-anak akan berhati-hati dalam setiap tindak tanduk yang ingin dilakukan. Hal ini dapat membantu ibu bapa memantau fiil anak-anak lalu menghalang anak-anak daripada terjerumus ke dalam kancah dadah yang kotor itu. Intihanya, ibu bapa mesti menguatkan ikatan ukhwah dengan saudara-mara yang lain supaya mereka boleh menjadi mata-mata yang bersedia memerhati tindak- tanduk anak-anak seterusnya dapat mengawal anak-anak dari terlibat dengan najis dadah.

Dalam mendidik anak-anak pada awal zaman remaja, ibu bapa perlu menjadi ‘rakan’ kepada anak-anak. Sebagai contoh, pakar motivasi terkenal, Dr. Fadzilah Kamsah dalam sebuah rancangan motivasi stesen televesen TV3 pernah menyarankan agar seorang bapa ‘bertukar’ menjadi kanak-kanak lelaki untuk memainkan watak raksasa melawan anak lelakinya yang menjadi watak “ultraman”.Bagi Dr. Fadzilah Kamsah , perlakuan ini amat penting bagi perkembangan mental dan emosi anak-anak kerana dapat mewujudkan hubungan yang erat dalam keluarga. Dalam erti kata lain ibu bapa perlu memahami naluri anak-anak tentang kegemaran dan kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang. Jika ada anak-anak remaja,ibu bapa boleh melibatkan diri bersama-sama dalam aktiviti yang digemari oleh anak-anak seperti mendaki gunung. Dengan cara ini, anak-anak akan berasa dihargai dan disayangi seterusnya berasa yakin dan selamat jika bersama-sama keluarga . Natijahnya , anak-anak akan lebih gemar bersama-sama keluarga berbanding rakan-rakan di luar rumah. Oleh itu, kesefahaman antara ibu bapa dan anak-anak amat perlu, agar anak-anak tidak berasa terpinggir dan menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya yang boleh menarik mereka ke lembah penagihan dadah.

Akan tetapi, ibu bapa tidak boleh menyekat sepenuhnya pergaulan anak-anak di luar rumah. Lebih-lebih lagi, jika anak-anak sudah mula menapak kaki ke dalam alam persekolahan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap rakan-rakan yang menjadi sahabat anak-anak. Hal ini kerana ,kebanyakan penagih mendakwa mereka menjadi penagih kerana terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan. Malah, di peringkat remaja, pengaruh rakan sebaya lebih besar berbanding ibu bapa. Sehubungan dengan itu, latar belakang rakan-rakan anak-anak perlu diselidik dengan teliti. Adalah sangat baik jika ibu bapa menjalinkan hubungan persahabatan dengan ibu bapa kepada rakan-rakan anak-anak. Jalinan hubungan yang baik ini akan melahirkan rasa tanggungjawab yang ikhlas untuk saling memantau gerak-geri anak-anak masing-masing. Seterusnya, dapat meyelamatkan anak-anak daripada fenomena negatif ini menular dalam kehidupan keluarga.

Selain menjalinkan ikatan persahabatan antara ibu bapa, kerjasama yang erat juga amat penting dijalinkan dengan pihak sekolah tempat anak-anak belajar. Keprihatinan ibu bapa tentang hal ehwal disiplin dan pencapaian akademik anak-anak di sekolah dapat menyekat anak-anak dari terus leka dan tidak menumpukan perhatian pada pelajaran. Maklumat tentang anak-anak daripada pihak sekolah perlu diberi perhatian positif. Hal ini kerana, sebahagian besar waktu siang anak-anak dihabiskan di kawasan sekolah ,iaitu lebih kurang lima jam sehari. Apatah lagi, jika anak-anak tinggal di asrama ; mereka hanya bertemu keluarga pada setiap hujung minggu sahaja. Maka , ibu bapa perlu memberi kepercayaan kepada pihak sekolah untuk bersama-sama mengawal disiplin dan tingkah laku anak-anak mereka. Melalui tindakan ini, anak-anak akan berasa sentiasa diawasi dan tiada peluang untuk melakukan hal-hal yang kurang baik seperti merokok di kawasan sekolah. Hal ini kerana, punca awal penagihan dadah datangnya daripada kegemaran merokok. Kesimpulannya, jalinan kerjasama antara ibu bapa dan sekolah juga mampu mengelak unsur buruk ini menyusup masuk ke dalam kehidupan anak-anak dan memporak- perandakan kebahagian keluarga.

Secara tuntasnya, pencegahan penagihan dadah dalam kalangan anak-anak memang terletak di bahu ibu bapa Namun begitu, ibu bapa tidak dapat bergerak sendirian bagi menanganinya. Permuafakatan dengan masyarakat amat penting. Masyarakat tidak boleh bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan hanya menuding jari kepada ibu bapa yang terbabit. Hal ini kerana, wabak dan najis dadah boleh menyusup masuk ke dalam setiap keluarga jika tidak diawasi bersama-sama. Sikap prihatin perlu ada, umpama peribahasa Melayu, cubit paha kanan, paha kiri terasa. Oleh itu, semua ibu bapa yang merupakan salah satu entiti dalam masyarakat perlu saling membahu untuk membanteras isu negatif ini daripada terus memburu anak-anak mereka lalu membarah dalam komuniti.

Disediakan oleh
Panitia Bahasa Melayu SMK Sultan Ismail Johor Bahru
11 Julai 2008

2 comments: