Friday, July 3, 2009

GENERASI BERWAWASAN

NURDARINA MAISARAH BINTI DAHALAN 5 CERDIK

Soalan : Huraikan pendapat anda tentang cirri-ciri generasi berwawasan demi kejayaan negara kita. Panjang huraian mestilah antara 200-250 patah perkataan.

Dalam meniti era globalisasi ini, generasi yang berwawasan merupakan pelapis dan peneraju kepada kemajuan dan pembangunan negara. Generasi berwawasan dapat ditafsirkan sebagai golongan muda yang mempunyai cita-cita. Sememangnya, generasi seperti ini dapat menjadi penggerak kepada wawasan negara kita. Justeru, jika ada sasaran yang positif dalam hidup, kita perlulah melengkapkan diri dengan beberapa ciri untuk menjadi generasi yang berwawasan.
Seseorang individu yang berwawasan sentiasa dinamik dan progresif dalam menjalankan sesuatu tugas. Dinamik dapat diertikan sebagai perubahan yang lebih baik daripada sebelumnya. Individu yang dinamik tidak boleh memiliki ciri-ciri negatif seperti mudah berputus asa sebaliknya perlu ada semangat tidak jemu untuk menimba ilmu yang begitu meluas. Dalam mengejar kejayaan, individu yang berwawasan seharusnya sanggup menghadapi cabaran tanpa berputus asa kerana tidak ada kejayaan yang datang bergolek. Hal ini demikian kerana, dalam dunia ini bukan senang untuk menjadi senang dan bukan susah untuk mendapat kesusahan. Negara yang pesat membangun seperti Malaysia memerlukan generasi yang memiliki ciri-ciri ini untuk mencapai kemajuan dalam setiap aspek.
Di samping itu, individu yang berwawasan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat bersaing secara sihat antara satu sama lain. Persaingan yang sihat dapat melahirkan individu yang mempunyai iltizam yang tinggi. Dalam hal ini, setiap individu perlulah berani melakukan perubahan sikap dan minda agar lebih terbuka dan berdaya saing. Individu yang berwawasan juga sentiasa berfikiran terbuka, kreatif dan inovatif dalam melakukan sesuatu perkara. Inovatif membawa maksud mencipta sesuatu yang baik untuk kepentingan diri dan masyarakat. Jika generasi kita tidak memiliki ciri-ciri ini, negara kita akan mundur dan tidak ada peluang untuk bersaing dengan negara lain.
Ciri-ciri seterusnya ialah berkemahiran tinggi dan memiliki semangat patriotik yang menebal dalam diri. Individu yang berwawasan akan sanggup mencari pengalaman baru untuk berada pada tahap yang tinggi. Seperti kata peribahasa Jepun, ‘pengalaman ialah ibu segala kejayaan’. Selain itu, jika generasi muda di Malaysia mempunyai rasa cinta akan negara yang mendalam atau dalam erti kata lain semangat patriotik yang tinggi, secara tidak langsung perkara ini dapat memberikan suntikan semangat supaya menjadi lebih cekap dan dinamik untuk bersaing diperingkat global bagi memastikan negara kita berupaya serta berdaya saing dalam era ekonomi dunia yang semakin mencabar.
Konklusinya, untuk menjadi generasi yang berwawasan kita seharusnya memiliki ciri-ciri yang tertentu bagi merealisasikan matlamat kita. Sebenarnya, generasi yang berwawasan juga menjadi akar pada pertumbuhan dan pembangunan modal insan yang menjadi agenda utama negara kita. Oleh itu, generasi kini perlulah melakukan anjakan paradigma supaya dapat memajukan diri, bangsa,agama, dan negara seterusnya dapat mencapai hasrat negara kita iaitu ‘generasi muda pelapis dan peneraju wawasan’.

2 comments: