Monday, June 22, 2009

DISEMAK PADA 2/5/2009

Soalan : Batik Malaysia masih kurang mendapat tempat dan sambutan dalam kalangan masyarakat Malaysia dan antarabangsa. Bincangkan usaha-usaha yang dapat diambil untuk memartabatkan batik Malaysia.

Batik merupakan satu kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejarah mengatakan sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Perusahaan batik telah mula di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa ‘tik’ yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Selain itu, batik juga dikenali sebagai ambatik yang bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Industri batik di Malaysia dirintis oleh Su Ishak di Kelantan pada tahun 1911. Di alam Melayu pula, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenal sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.
Seni batik merupakan satu daripada akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia. Walaubagaimanapun, industri batik ini mula merudum tetapi dimartabatkan semula pada tahun 2003 atas usaha Datin Seri Endon Mahmood. Sememangnya, bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa. Justeru, langkah proaktif dan berterusan perlu diambil demi memartabatkannya kembali.
Dalam usaha memartabatkan industri seni batik di Malaysia, pihak kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan industri ini. Ungkapan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’ menggambarkan betapa pentingnya aktiviti promosi yang agresif untuk memperkenalkan seni batik kepada masyarakat di Malaysia yang semakin meminggirkan tradisi dan budaya. Hal ini demikian kerana masyarakat di negara kita kurang didedahkan dengan amalan tradisi mahupun kraf tangan yang menjadi warisan nenek moyang kita terdahulu. Kerajaan telah menguatkuasakan agenda baru dalam kalangan penjawat awam iaitu mereka diwajibkan memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis dan di majlis-majlis rasmi. Secara tidak langsung, masyarakat kita akan membuka mata dan memikirkan signifikannya pewajiban pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam dan motif sebenar kerajaan menguatkuasakan peraturan ini.
Usaha kerajaan ini juga mendapat sambutan dan sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan dan Perbadanan Kemajuan Luar Malaysia demi merealisasikan hasrat yang sama iaitu mengembalikan keagungan seni batik. Institut Kraf Negara(IKN) merupakan salah satu agensi bagi membantu mencapai matlamat ini. IKN merupakan pusat kecemerlangan pendidikan kraf yang dapat melahirkan tenaga mahir berteknologi terkini, usahawan kraf dan menjadi pusat rujukan, penyelidikan serta pemuliharaan warisan negara. Dalam hal ini, IKN dapat membantu melatih pengusaha batik yang baru dan ingin menambah ilmu dalam industri ini. Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Intensif Galakan Dagangan yang bertujuan untuk membantu usahawan kraf menerokai pasaran baru di Timur Tengah seperti di United Arab Emirates(UAE). Dalam erti kata lain, dengan adanya agenda kerja yang tersusun dan sempurna, misi memartabatkan seni batik ini pasti dapat dicapai.
Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, dimanakan dapat sagunya’ yang membawa maksud, tanpa usaha kita tidak akan dapat hasilnya. Dalam memartabatkan industri seni batik, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) haruslah giat dilaksanakan. Agensi-agensi kerajaan seperti institut pengajian tinggi awam(IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta(IPTS) mestilah bijak mengambil langkah yang progresif demi membantu menaiktarafkan batik Malaysia. Misalnya, IPTA dan IPTS boleh memperkenalkan atau menawarkan matapelajaran seni kebudayaan batik kepada para pelajar di institut-institut tersebut. Universiti Teknologi Mara(UiTM) merupakan contoh universiti yang mempunyai fakulti seni tekstil ; di sini pelajar dilatih untuk menghasilkan batik. Di samping itu, IPTA dan IPTS juga boleh menganjurkan forum ceramah apresiasi batik dan pameran batik bertujuan untuk melahirkan pengusaha batik yang berkualiti dan mencambahkan kreativiti mereka dalam menghasilkan batik. Sekali lagi Institut Kraf Negara(IKN) memainkan peranan yang penting dalam melatih tenaga mahir dalam industri pembuatan batik dan mengenal pasti corak batik terkini yang menembusi pasaran baharu. Jelaslah di sini bahawa usaha yang mapan dan agresif banyak membantu usaha memartabatkan dan mengglobalkan seni batik.
Selain itu, program promosi dan pemasaran yang agresif juga boleh melicinkan lagi usaha kerajaan dalam mengembalikan kegemilangan seni batik di Malaysia. Perbadanan Kraf Tangan Malaysia telah mengambil langkah yang responsif dan drastik dengan mengadakan promosi yang berterusan di dalam dan di luar negara. Seni batik mula menapak di pasaran antarabangsa apabila batik menerjah ke seantero dunia apabila kerajaan berjaya mendapatkan tempat pameran baru yang sangat berpengaruh dan popular iaitu di Harrods,London. Pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ menggambarkan betapa keras usaha kerajaan dalam memurnikan usaha memartabatkan seni batik yang sangat bernilai ini.Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara turut memainkan peranan dengan mengadakan promosi dan jualan di pusat beli-belah, hotel, lapangan terbang, dan lain-lain tempat. Di samping itu, usaha Datin Seri Endon Mahmood juga mendapat sokongan daripada pihak kerajaan demi memurnikan hasrat melonjakkan industri batik di negara kita. Hasilnya, pada tahun 2003, hasil jualan batik ialah RM33 juta dan meningkat kepada RM39.7 juta pada tahun 2004. Sememangnya, usaha yang padu daripada pelbagai pihak dapat memendekkan masa untuk mencapai misi memartabatkan industri batik negara kita.
Di samping usaha-usaha yang giat dilaksanakan, pengusaha batik turut memainkan peranan yang sangat penting. Pengusaha perlulah berani menanam modal demi menjalankan perniagaan mereka dan rajin menimba ilmu baharu seperti kata pepatah Melayu,’berkayuh sambil bertimba’. Selain itu, pengusaha juga boleh mengadakan kesepakatan dan kerjasama dalam kalangan pengusaha batik dan agensi kerajaan dengan mewujudkan institusi latihan batik. Usaha ini sememangnya dapat memenuhi dasar kerajaan dan aspirasi rakyat apabila terhasilnya batik yang berkualiti dengan wujudnya kerjasama yang dijalinkan.
Kesimpulannya, mutiara berharga seperti seni batik yang menjadi identiti bangsa dan warisan tradisi ini wajar dipertimbangkan supaya tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Pada masa hadapan, generasi muda akan datang menghayati dan berbangga akan budaya tempatan yang dikekalkan untuk sekian lamanya. Sudah sampai masanya industri batik tempatan yang diusahakan secara turun temurun ini beralih kepada industri berdaya saing dan menampilkan kewibawaan bangsa. Semoga warisan tradisi khazanah bangsa terpelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan oleh generasi yang akan datang dan dihormati di peringkat antarabangsa.

( 920 patah kata )
DARINA MAISARAH BINTI DAHALAN
5 CERDIK
SMK SULTAN ISMAIL, JOHOR BAHRU,2009

Saturday, June 20, 2009

Soalan :
Dalam usaha kerajaan memartabatkan sistem pendidikan agar bertaraf dunia, sistem pengajaran dan pembelajaran secara maya telah diperkenalkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Bincangkan kelebihan-kelebihan pendidikan maya dan usaha-usaha untuk menggalakkan penggunaan pendidikan maya.

Pepatah ada mengatakan ‘zaman beralih, musim bertukar’,sememangnya tidak dapat dinafikan lagi pendidikan konvensional kini telah bertukar wajah. Sistem pendidikan maya telah diperkenalkan di negara kita atas usaha kerajaan untuk memartabatkan lagi sistem pendidikan kita agar bertaraf dunia. Sistem ini bertujuan untuk melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar setanding dengan sistem pendidikan di negara-negara maju dan juga untuk meningkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran agar boleh diaplikasikasikan di seluruh dunia. Pendidikan maya merupakan satu bentuk pendidikan masa depan yang akan memaksimumkan penggunaan Teknologi dan Maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan maya dapat ditakrifkan sebagai sistem pengajaran dan pembelajaran yang melepasi sempadan bilik kuliah atau kelas di sekolah. Jika kita menerobosi secara terperinci tentang sisitem pendidikan maya ini, banyak kelebihan yang bakal kita dapati.
Dalam hal ini, pendidikan maya membolehkan para pelajar mengikuti tutorial tanpa perlu terikat dengan waktu pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, para pelajar dapat menghadiri mana-mana sidang dimana-mana sahaja tanpa mengira waktu. Pembelajaran secara asinkronis ini memudahkan lagi para pelajar untuk melakukan perbincangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa perlu duduk setempat bersama-sama. Hasilnya, lebih banyak informasi dapat digali dan pelbagai idea baru dapat ditunasi. Selain itu, sitem ini turut membuka peluang untuk para pelajar berinteraksi menggunakan internet dan juga e-mel. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan lagi masa para pelajar.
Dalam nada yang serupa, menerusi sistem pendidikan maya, para pelajar dapat menggunakan E-buku yang boleh dimuat turun secara langsung dari alam maya. E-Buku mempunyai pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya. Dengan e-buku itu, para pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak. Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan e-buku mampu menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah kelas. E-buku menjadi suatu wahana dengan pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar. Sebagai seorang pelajar, internet juga boleh dijadikan sebagai medium rujukan. Malahan, internet juga dianggap sebagai perpustakaan maya yang menyimpan khazanah ilmu pengetahuan. Maklumat yang diperoleh lebih cepat, mudah dan dapat menjimatkan masa.
Di samping itu, para pelajar terutama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu lagi bersemuka dengan pensyarah. Sebagai contoh Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membolehkan para pensyarah mengendalikan telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dapat dilakukan di lokasi yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi. Malahan, konsep universiti terbuka seperti Universiti Tun Abdul Razak dapat dirancakkan lagi kewujudannya tanpa pelajar perlu bersua muka dengan pensyarah seperti masa ini. Dalam hal ini, golongan seperti suri rumah dan pesara dapat terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu menghadirkan diri di institusi pendidikan. Hal ini secara tidak langsung dapat memanifestasikan slogan pendidikan sepanjang hayat yang digalakkan oleh kerajaan. Seterusnya, pendidikan secara maya juga dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan seperti penginapan dan pembelanjaan. Hal ini kerana pendidikan maya boleh dilakukan di rumah. Hal ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos perbelanjaan dan penginapan para pelajar.
Demi melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggalakkan pendidikan maya dalam kalangan masyarakat. Antara usaha yang telah di lakukan ialah menaik taraf sekolah dan institut pengajian tinggi. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan (PIPP) yang bertujuan untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.Menerusi teras yang keenam Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan, Kementerian Pelajaran berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan tidak kira sama ada sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Sebagai contoh, menerusi PIPP, sebanyak 60 buah sekolah telah dinaik taraf sebagai sekolah kluster.Skolah Kluster dapat disignifikasikan sebagai satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti kecemerlangannya dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Penggunaan kemudahan teknologi maklumat yang disediakan perlu diikuti oleh semua pelajar sekolah kluster. Misalnya, beberapa sekolah kluster telah mengambil beberapa langkah untuk mempraktikkan pendidikan maya dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah seperti menghantar tugasan melalui e-mel dan juga melakukan pembentangan melalui pengunaan komputer. Para pelajar juga digalakkan untuk menguasai perisian komputer seperti Microsoft Words, Microsoft Power Point dan sebagainya. Di samping itu, banyak universiti telah diiktiraf sebagai Universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya dan juga Unversiti Sains Malaysia untuk melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita.
Kesimpulannya, sememangnya pendidikan maya memberikan pelbagai kelebihan kepada seluruh lapisan masyarakat. Umum mengetahui bahawa bentuk pengaajaran dan pembelajaran yang baharu membolehkan rakyat meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik. Pelaksanaan sistem pendidikan maya di negara kita dapat meluaskan lagi horizon minda para pelajar. Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya pendidikan maya dilaksnakan secara menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan tetap dapat dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan sedemikian patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah ‘ sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselami orang’. Selain itu pelbagai pihak tidak kira pihak swasta mahupun badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu bersama kerajaan untuk membangunkan lagi sistem pendidikan di negara kita agar ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan negara-negara maju yang lain.

(810 patah perkataan)
ADILAH NUR BINTI YAHYA
5 CERDIK SMAK SULTAN ISMAIL
JOHOR BAHRU, JOHOR, 2009
Soalan : Batik Malaysia masih kurang mendapat tempat dan sambutan dalam kalangan masyarakat Malaysia dan antarabangsa. Bincangkan usaha-usaha yang dapat diambil untuk memartabatkan batik Malaysia.

Peribahasa ada mengatakan ‘tak kenal maka tak cinta’, sifat ini ialah tabii manusia yang sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Nilai estetika yang terdapat pada batik sering kali di pandang sepi oleh segelintir masyarakat kita. Namun atas dorongan dan pelbagai strategi, kini batik mampu menandingi jenama terkenal di Negara kita. Jika kita menyingkap sejarah seni batik, kita dapat mengetahui batik merupakan satu daripada akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia sejak berkurun lamanya. Kaedah pembuatan batik secara tradisional ditemui sejak abad ke 15. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan alat pengecop tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden.Batik sebenarnya berasal daripada perkataan Jawa iaitu ‘Tik’ yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Di samping itu batik juga membawa maksud melukis, menulis, dan juga mewarna. Industri batik di Malaysia dirintis pada tetapi dibangunkan semula selepas tahun 2003 atas usaha Datin Seri Endon Mahmood . Pelbagai langkah proakatif perlulah diambil demi memastikan seni batik di negara dapat dimartabatkan dan mencapai zaman kegemilangannya kembali.

Sebenarnya dalam menyingkap usaha yang dapat diambil untuk mengembalikan keagungan batik, kerajaan telah memainkan peranan yang cukup penting untuk memartabatkan batik di negara kita dan juga di seluruh dunia. Pada tahun 2003 kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan industri ini. Kerajaan juga telah menguatkuasakan peraturan baru dalam kalangan penjawat awam iaitu mereka diwajibkan untuk memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis dan juga di majlis-majlis rasmi. Hal ini secara tidak langsung dapat melonjakkan lagi industri batik di negara kita. Di samping itu, Perbadanan Kemajuan Kraf Tangan dan Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia turut membantu untuk merealisasikan hasrat kerajaan. Perbadanan kemajuan Kraf Tangan telah berfungsi untuk membangun dan mempromosikan pengusaha dan industri kraf negara seperti industri batik. Pelbagai agenda dan program yang tersusun dan sempurna telah diadakan oleh perbadanan-perbadanan ini. Kraftangan Malaysia juga telah mengambil beberapa pendekatan dengan menyertai pameran perdagangan utama di beberapa negara seperti di United Kingdom, Hong Kong dan juga di Singapura. Kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Intensif Galakan Dagangan yang bertujuan untuk membantu usahawan kraf menerokai pasaran baru di Timur Tengah seperti di United Arab Emirates (UAE). Sememangnya kerajaan telah melakukan pelbagai strategi dan usaha untuk memartabatkan kembali industri batik bukan sahaja di negara kita bahkan di persada dunia.

Seterusnya, untuk memartabatkan batik, kita juga perlu menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara agresif. Agensi-agensi kerajaan seperti institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan juga institut pengajian tinggi swasta (IPTS) perlulah bijak dalam memainkan peranan untuk menaiktarafkan batik Malaysia. Pepatah ada mengatakan ‘ kalau tak dipecahkan ruyung, di manakan dapat sagunya” membenarkan lagi bahawa institut-institut pengajian tinggi perlulah berusaha melatih tenaga mahir dalam industri pembuatan batik agar kita dapat menghasilkan pelbagai corak batik yang terkini di samping mendapatkan pasaran yang luas melalui tenaga yang mahir. Sebagai contoh, kewujudan Institut Kraf Negara telah dapat melatih pengusaha-pengusaha batik yang baru dan juga yang ingin menambah ilmu. Hal ini secara tidak langsung menjadikan Institut Kraf Negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan kraf yang dapat melahirkan tenaga mahir yang berteknologi tinggi. Di samping itu, IPTA dan juga IPTS perlulah menawarkan atau membuka jurusan kesenian batik dan warisan kebudayaan sebagai salah satu subjek yang boleh diambil oleh para pencinta seni warisan demi menaiktarafkan lagi industri batik dan kraf tangan di Negara kita. Universiti Teknologi Mara(UiTM) merupakan salah sebuah universiti yang menawarkan jurusan ini. Maka benarlah bahawa melalui peningkatan usaha penyelidikan dan pembangunan kita dapat memartabatkan lagi batik Malaysia.

Di samping itu, program promosi dan pemasaran batik secara agresif dapat membantu menaiktarafkan batik kita secara meluas. Kerajaan turut mengambil langkah responsif dan drastik dalam mempromosikan batik ke seantero dunia. Pepatah ada mengatakan ‘ hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, setiap usaha yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh pasti membuahkan hasil yang cukup lumayan. Perbadanan Kraf Tangan Malaysia telah mengadakan promosi secara berterusan di dalam dan di luar Negara. Baru-baru ini, batik Malaysia mula menerjah ke seantero dunia apabila kerajaan berjaya mendapatkan tempat untuk membuat pameran di pusat membeli- belah terkemuka dunia iaitu di Harrods,London. Promosi kraf Malaysia di Harrods telah membuka mata banyak pihak bahawa batik Malaysia sememangnya mempunyai nilai estetika yang cukup tinggi dan juga kelihatan mewah apabila digayakan di pentas peragaan. Selain itu, di bawah usaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara, banyak aktiviti promosi telah diaturkan seperti Program Promosi Antarabangsa bersama Kraftangan Malaysia Tahun 2009, Hari Kraf Kebangsaan 2009 dan lain-lain. Promosi dan jualan turut diadakan di pusat beli- belah, hotel, lapangan terbang, dan tempat-tempat lain. Pada tahun 2003, hasil jualan batik ialah RM33 juta dan jumlah itu meningkat kepada RM39.7 juta pada tahun 2004 berkat usaha dan dorongan Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood. Promosi dan pemasaran yang agresif sememangnya dapat menaiktarafkan batik Malaysia di seantero dunia.

Selain usaha-usaha di atas, pengusaha batik perlulah memainkan peranan yang penting. Mereka perlulah berani melaburkan duit untuk dijadikan modal bagi perniagaan mereka. Di samping giat menjalankan perniagaan, para pengusaha batik perlulah rajin dalam menimba ilmu pengetahuan bak kata pujangga berkayuh sambil bertimba. Kini pelbagai jurusan dan kursus telah ditawarkan oleh pihak tertentu dan para pengusaha batik perlulah memanfaatkan peluang keemasan ini dengan sebaik yang mungkin. Pengusaha batik juga perlulah mewujudkan kesepakatan dan kerjasama dengan agensi kerajaan bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kesepakatan dan kerjasama yang baik dapat menghasilkan idea dan produk yang berkualiti dan bervariasi yang dapat memenuhi dasar kerajaan dan aspirasi rakyat. Misalnya, pengusaha-pengusaha batik boleh mewujudkan institut latihan batik dan juga syarikat pemasaran bersepadu bagi melatih tenaga-tenaga mahir. Hal ini secara tidak langsung dapat memartabatkan lagi batik kita melalui persaingan yang sihat antara pengusaha-pengusaha batik di negara kita.

Kesimpulannya, seni batik yang menjadi identiti bangsa dan warisan tradisi perlulah dipertimbangkan agar tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Mutiara berharga ini perlulah kita jaga agar kesenian dan keindahannya berkekalan hingga ke generasi seterusnya. Sudah sampai masanya industri batik tempatan yang diusahakan secara turun-temurun diberi nafas baru menjadi industri berdaya saing. Hal ini kerana,generasi muda akan datang dapat menghayati dan berbangga akan budaya tempatan yang dapat menampilkan kebudayaan bangsa. Semoga warisan khazanah bangsa terpelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan oleh generasi yang akan datang dan disegani di peringkat antarabangsa. Jadi, semua pihak semestinya perlu bergabung tenaga dalam memartabatkan batik Malaysia ke seluruh pelosok dunia.
ADILAHNUR BINTI YAHYA
5 CERDIK
SMK SULTAN ISMAIL
JOHOR BAHRU, JOHOR 2009